SCORE | Mukah akan saksi lebih banyak pembangunan

SIBU: Bahagian Mukah akan menyaksikan lebih banyak pembangunan termasuk pembinaan projek landasan ke-reta api yang akan menghubungkan Samalaju di Bintulu dan Tanjung Manis di Mukah menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sara-wak (SCORE).
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, fasa pertama projek kemungkinan melibatkan pembinaan landasan antara Samalaju dan Mukah.
Menjelang tahun 2020, katanya, anggaran kasar kargo yang diangkut antara Samalaju dan Tanjung Manis adalah lebih lima juta tan setahun dan jumlah tersebut akan terus meningkat.
“Atas sebab itu, ia akan membawa lebih banyak projek pembangunan termasuk pembinaan landasan kereta api yang akan menghubungkan Tanjung Manis dan Samalaju,” ujarnya ketika berucap merasmikan Hotel Kingwood Mukah di Pusat Perdagangan Setia Raja, semalam.
Hotel Kingwood Mukah yang mempunyai 200 bilik, dibina dengan kos RM20 juta dan merupakan salah satu daripada lima hotel milik Kumpulan Kingwood. Hotel-hotel lain ialah Hotel Kingwood Sibu, Kingwood Inn Kuching, Kingwood Inn Miri dan Kingwood Resort Mukah.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Mukah Dato Sri Dr Muhammad Leo Toyad, pengarah Hotel Kingwood Mukah Datuk Hii Yii Peng dan Pengarah Urusan Hii King Chiong.
Taib berkata, Tanjung Manis di bahagian Mukah juga akan menjadi pengimport terbesar makanan dan produk biotek dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Bandar Mukah, katanya, akan turut mempunyai bangunan tetap bagi kampus Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) yang sedia ada, selain sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Semua ini akan menambahkan bilangan penduduk di bahagian Mukah dan ini menunjukkan tanda bagi pembangunan yang lebih besar di kawasan ini,” jelasnya.
Selain Mukah, menurut Ketua Menteri, bandar-bandar kecil lain di negeri ini juga tidak terlepas daripada pembangunan bagi memberi faedah kepada semua rakyat.
“Ini cara kita untuk berlaku adil dan tunjukkan yang  kita sayangkan kepada semua tanpa mengira bangsa. Ini kerana kita percaya kita semua adalah penduduk Sarawak.
“Kita mahu pastikan semua rakyat mempunyai peluang sama untuk menikmati kehidupan yang baik dalam negeri ini yang rancak membangun,” katanya sambil memberitahu kawsaan terpencil seperti Belaga juga tidak terlepas daripada menikmati projek pembangunan.

sumber: Link

0 ulasan:

Catat Ulasan

free counters