PIALA THOMAS&UBER | KEPUTUSAN TERKINI UNTUK MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Malaysia tumbang kepada China pada separuh akhir Piala Thomas bukan sesuatu yang mengejutkan tetapi cara kekalahan kita yang kalah tanpa melawan itu yang mengecewakan lebih 12,000 penonton yang membanjiri Stadium Putra, Bukit Jalil, semalam dan seluruh rakyat negara ini.
Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei tumpas kepada seteru utamanya, Lin Dan di gelanggang sendiri buat kali pertama, malah kekalahannya kali ini cukup mudah 17-21, 8-21 dalam masa hanya 47 minit.
Pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga mengalami kekalahan buruk 15-21, 10-21 kepada pasangan Fu Haifeng-Cai Yun untuk menambah sengsara Malaysia.
Hari buruk pasukan negara dilengkapkan dengan kekalahan mudah Wong Choong Hann 16-21, 7-21 kepada Chen Jin.
Bukan hendak menyalahkan sesiapa tetapi sehari sebelum perlawanan bermula lagi seperti ada yang tidak kena dengan persediaan Malaysia untuk menghadapi perlawanan genting menentang China.
Sehari sebelum saingan separuh akhir, semua pemain dan jurulatih diberikan rehat.
Ia tidak salah tetapi apakah wajar pemain diberi kebebasan melakukan aktiviti luar sedangkan kita sedang berada dalam satu kejohanan besar.
Kekuatan Malaysia dan China pada hakikatnya tidaklah terlalu jauh, tetapi apa yang membezakan kedua-dua pasukan semalam adalah fokus pemainnya.
Chong Wei dan Kien Keat-Boon Heong tidak memberi permainan sendiri, kaki dan kelihatan amat tegang.
Bagi Choong Hann pula, kekalahan kepada Chen Jin hanya membuktikan betapa kudrat tuanya tidak lagi mampu menyaingi pemain yang berusia sembilan tahun lebih muda daripadanya.
Sementara itu, dua ketua jurulatih negara, Rexy Mainaky (beregu) dan Rashid Sidek (perseorangan) berkongsi pandangan serupa, China terlalu unggul dan Malaysia langsung tidak berpeluang untuk memenangi perlawanan.
Penampilan China kali ini amat mengejutkan, setiap pemain mereka sangat bersedia dan mantap. Tindakan berani negara itu merehatkan kebanyakan pemain utama pada kejohanan antarabangsa, membuahkan hasil yang luar biasa.
“Apa yang boleh saya katakan, China terlalu unggul hari ini. Pemain-pemain mereka hadir dengan persiapan yang amat luar biasa, mereka benar-benar mengejutkan kita.
“Kekuatan China tidak diduga. Terbukti, standard mereka jauh meninggalkan pasukan lain ketika ini. Pemain kita telah cuba memberikan yang terbaik, tetapi kita kalah kepada pasukan yang jauh lebih baik,” akui Rexy.
“Kita sudah memberikan yang terbaik, tetapi ia tidak cukup untuk mengalahkan China. Mereka sangat kuat hari ini,” kata Rashid pula.
Malaysia kini terpaksa menanti dua tahun lagi untuk mengulangi sejarah 1992. Ketika ini, gelanggang kejohanan belum diketahui, tetapi itu tidak penting kerana yang penting, apakah dalam tempoh dua tahun lagi, Malaysia akan memiliki pasukan yang lebih baik dari sekarang?

sumber: Link

0 ulasan:

Catat Ulasan

free counters