Pilihanraya Kecil di Sibu - 16 Mei

SIBU 8 Mei - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu pada 16 Mei ini bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew, calon DAP, Wong Ho Leng dan calon Bebas, Narawi Haron.
Pegawai Pengurus PRK Parlimen Sibu, Wong See Meng mengumumkan senarai calon tersebut sebaik sahaja tempoh bantahan berakhir pada pukul 11 pagi ini.
''Terdapat satu bantahan diterima ketika tempoh bantahan tetapi tiada calon ditolak kertas penamaannya," kata beliau di Dewan Suarah Sibu di sini hari ini.
Sementara itu, suasana pusat penamaan calon bagi PRK Parlimen Sibu di Dewan Suarah di sini tenang dan terkawal walaupun terdapat beberapa penyokong cuba membuat provokasi.
Cuaca di pusat berkenaan juga dalam keadaan baik dengan para penyokong calon masing-masing berhimpun seawal pukul 7 pagi di tempat yang ditetapkan dan anggota polis sudah mulai sibuk mengawal lalu lintas.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati keadaan di sekeliling pusat penamaan calon telah dikawal rapi oleh pasukan polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) manakala laluan ke Dewan Suarah juga lancar.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai rombongan mengiringi calon BN, Hui Yew ke pusat penamaan calon pagi ini.
Muhyiddin bersama rombongan penyokong BN yang berjumlah kira-kira 3,000 orang tiba di dewan tersebut pada pukul 8.43 pagi.
Antara pemimpin BN lain yang turut serta ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet.
Sementara itu, calon DAP, Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.30 pagi bersama kira-kira 700 penyokong dengan diketuai Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail .
PRK Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.
Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar iaitu 52,158 adalah pengundi biasa dan 2,537 undi pos yang merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.
Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, pengundi di kalangan kaum Cina adalah 67 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan bumiputera Sarawak (22 peratus).
Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka yang melibatkan 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi.


source: Link

0 ulasan:

Catat Ulasan

free counters