Sukan Komanwel | Jaga diri baik-baik di New Delhi

Atlet negara dari Sarawak dipesan waspada ketika berjuang di Sukan Komanwel
KUCHING: Atlet-atlet Sarawak yang bakal berjuang pada Sukan Komanwel (Sukom) di New Delhi, India bermula pada 3 hingga 14 Oktober ini diharapkan menjaga diri baik-baik serta berjuang dengan penuh bersemangat.
Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Dato Sri William Mawan Ikom berkata atlet-atlet Sarawak perlu menunjukkan disiplin yang baik sambil memberikan yang terbaik sepanjang berada di sana nanti.
Selain itu, katanya, atlet-atlet negeri juga harus menjaga tahap keselamatan dan kesihatan mereka kerana diakui situasi di India agak kurang memuaskan ketika ini.
“Kita tahu suasana di India agak tidak menentu buat masa sekarang… dan saya berharap agar atlet-atlet kita dari Sarawak akan sentiasa mematuhi segala disiplin dan juga arahan daripada delegasi negara,” kata Mawan ditemui di pejabatnya, di sini semalam (Isnin).
Terdahulu, Mawan menerima kunjungan pasukan bola sepak Akademi Kickalob diketuai pengarah teknikalnya, Daud Aba yang bakal beraksi pada kejohanan Piala Borneo 2010 di Sabah dari 30 September hingga 6 Oktober ini.

BN guna strategi baru

MIRI: Jentera Barisan Nasional (BN) Sarawak akan menggunakan strategi baru berbanding yang sedia ada bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata jentera BN negeri kini telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
“Kita akan menggunakan strategi yang baru dan ianya adalah berlainan dengan strategi yang pernah diguna-kan dalam pilihan raya lalu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Sijil Kepada peserta Kursus Pilihan Raya Sarawak semalam.
Dr Chan yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan Sarawak memberitahu semua jentera BN telah merangka strategi masing-masing termasuk memberi latihan khas kepada pasukan yang bertugas di peringkat akar umbi.
free counters