Sukan Komanwel | Jaga diri baik-baik di New Delhi

Atlet negara dari Sarawak dipesan waspada ketika berjuang di Sukan Komanwel
KUCHING: Atlet-atlet Sarawak yang bakal berjuang pada Sukan Komanwel (Sukom) di New Delhi, India bermula pada 3 hingga 14 Oktober ini diharapkan menjaga diri baik-baik serta berjuang dengan penuh bersemangat.
Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Dato Sri William Mawan Ikom berkata atlet-atlet Sarawak perlu menunjukkan disiplin yang baik sambil memberikan yang terbaik sepanjang berada di sana nanti.
Selain itu, katanya, atlet-atlet negeri juga harus menjaga tahap keselamatan dan kesihatan mereka kerana diakui situasi di India agak kurang memuaskan ketika ini.
“Kita tahu suasana di India agak tidak menentu buat masa sekarang… dan saya berharap agar atlet-atlet kita dari Sarawak akan sentiasa mematuhi segala disiplin dan juga arahan daripada delegasi negara,” kata Mawan ditemui di pejabatnya, di sini semalam (Isnin).
Terdahulu, Mawan menerima kunjungan pasukan bola sepak Akademi Kickalob diketuai pengarah teknikalnya, Daud Aba yang bakal beraksi pada kejohanan Piala Borneo 2010 di Sabah dari 30 September hingga 6 Oktober ini.

Mawan, menteri yang bertanggungjawab terhadap sukan, berkata isu keselamatan dan kesihatan perlu diberi penekanan oleh semua atlet terutamanya atlet negeri ini.
“Kita akui isu keselamatan dan kesihatan kini menjadi kontroversi para atlet dan pegawai-pegawai Sukan Komanwel di India masa sekarang, justeru saya berharap atlet-atlet kita hendaklah pandai-pandai menjaga diri mereka dan menunjukkan tahap disiplin tinggi,” katanya.
Isu keselamatan dan tahap kesihatan merupakan penyebab utama ramai atlet tersohor peringkat antarabangsa menarik diri daripada menyertai Sukan Komanwel di India yang bakal bermula pada Ahad ini.
Malah isu perkampungan atlet turut dibangkitkan setelah ia digambarkan sebagai terlalu kotor dan tidak sesuai untuk didiami.
Sukan Komanwel tahun ini juga hampir dibatalkan apabila beberapa negara mengancam untuk menarik diri ekoran kebimbangan keselamatan dan kemudahan sukan yang tidak memuaskan.
Mawan berkata walaupun keadaan yang tidak menentu di India, atlet-atlet kita perlu membuktikan keyakinan mereka untuk bersaing di peringkat dunia.
“Saya yakin dengan perjuangan tinggi ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ atlet-atlet Sarawak mampu akan berjuang dengan penuh bersemangat bagi memburu kejayaan demi maruah kontinjen negara,” katanya.
Mengenai insentif kepada atlet-atlet Sarawak mewakili negara, Mawan berkata: “Kerajaan Negeri sememangnya memberikan yang terbaik untuk membakar semangat atlet-atlet kita berjuang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.”
Mawan menarik perhatian, Sarawak mempunyai pelan pembangunan sukan yang kini sedang dirangka dengan teliti bagi membolehkan para atlet dan persatuan-persatuan sukan mencapai kejayaan.
Menurutnya, antara pelan pembangunan yang bakal dilaksanakan nanti ialah program kecemerlangan membabitkan semua jenis sukan dengan menyediakan prasarana dan kemudahan sukan terbaik.
“Saya telah melawat beberapa negeri di Australia baru-baru ini dan melihat serta meneliti tentang perkembangan dan pembangunan sukan di negara terbabit.
“Justeru, kita akan cuba menggunakan beberapa kaedah dan pelan perancangan pembangunan sukan dari negara terbabit bagi membolehkan kita meningkatkan pencapaian mutu sukan di negeri ini,” katanya.

Sumber: borneo post

0 ulasan:

Catat Ulasan

free counters